Wednesday 27 February 2019

RESIPI SARDIN BERLADO MINANG

Assalamualaikum dan selamat petang..

Petang-petang begini bagi para wanita mesti sibuk memikirkan nak masak apa untuk makan malam. Mari saya cadangkan satu menu yang sedap dan ringkas sahaja. Tetapi menu ini agak berlaunan dari cara masakan sardin biasa bagi orang Malaysia. Biasanya kita hanya menggunakan bawang dan cili sahaja untuk menumis kuah sardin sebagai penambah rasa, tetapi masakan sardin berlado ini saya tambah kentang sebagai penyeri hidangan. Mari kita lihat bahan-bahannya:

BAHAN-BAHANNYA:

1 tin besar sardin (diasingkan dari kuahnya, dibuang sisiknya menggunakan jari dan digoreng sehingga garing)
4 biji kentang (dibelah 4/6 dan digoreng dengan meletakkan sedikit garam dan kunyit)
8-10 biji cili merah
20 biji cili padi
1 ulas bawang besar
5 ulas bawang putih
Asam keping

CARA-CARA MEMASAKKNYA:

1. Kisar cili merah, cili padi, bawang besar dan bawang putih dengan menggunakan minyak masak. bertujuan untuk memecahkan biji cili yang dikisar. Jangan letakkan air walau sedikit. Kisar perlahan-lahan, jangan terlalu halus.

2. Panaskan kuali dan tumiskan bahan kisar sehingga garing. Perasakan dengan garam dan asam keping. Masukkan kuah sardin dalam tin.

3. Setelah masak tutup api dan masukkan sardin bersama kentang yang telah digoreng ke dalam kuali.    Balik-balikkan perlahan-lahan dan siap untuk dimakan. Boleh dimakan bersama nasi panas atau roti gardenia. Nyum2!

Tuesday 26 February 2019

PETUA ANAK PUTIH GEBU

Assalamualaikum..

Tajuk kali ini adalah bertujuan menjawab banyak persoalan dari ramai kenalan mahupun yang tidak kenal berkaitan amalan saya ketika mengandung untuk mendapatkan anak yang putih gebu, licin dan sihat kulitnya. Sebenarnya saya tidak ada sebarang amalan khusus pun, pola pemakanan saya sama ja seperti ibu hamil yang lain. Cuma ada beberapa petua yang saya dapat dari individu-individu yang saya yakini yang saya fikir baik untuk kesihatan dan kandungan lalu saya amalkan.

Saya juga ada sifat buruk ketika hamil, iaitu saya terlalu mengikut nafsu makan sehingga berat badan naik sehingga 20-25kg. Mujurlah saya tidak mengidap kencing manis atau darah tinggi semasa mengandung yang memerlukan saya menjaga diet ketika mengandung. Allah lindungi saya dan anak-anak, alhamdulillah.


1. Jus Pati Delima Gulsan

Saya minum 1 sudu makan setiap pagi dan malam. Pati delima ini diperkenalkan oleh seorang bidan kampung yang saya panggil Kak Teh. Tujuannya untuk mengelakkan masalah kandungan hemoglobin rendah atau istilah yang biasa kita gunakan hb low. Saya minum dari kandungan 5 bulan sehingga ke hari-hari terakhir nak bersalin. Saya sukakan rasanya yang masam-masam manis dapat mengelakkan rasa mual kerana alahan mengandung. Selain itu menurut Kak Teh jus delima ini juga berkhasiat untuk menjadikan kulit bayi yang dilahirkan nanti licin, putih dan sihat. Bagi saya warna kulit tidaklah begitu penting, yang penting kulit yang sihat, tidak sensitif dan tahan lasak kerana kulit bayi biasanya memerlukan jagaan rapi.


2. Minum Susu Nespray Full Cream

Saya biasanya minum susu pada sebelah malam untuk mengelakkan perut berasa lapar ketika tidur. Saya pilih susu Nespray sebab rasanya sedap dan harganya juga tidak begitu mahal. Doktor saya juga menasihatkan saya supaya minum susu untuk mengelakkan kekurangan kalsium dalam badan tetapi beliau tidak menggalakkan saya minum susu yang dikhaskan untuk ibu mengandung sebaliknya mencadangkan saya minum susu biasa saja seperti Dutch Lady atau Nespray. Saya tidak ada masalah untuk minum susu setiap hari kerana saya amalkan minum susu sejak dulu lagi.


3. Elakkan air kacang soya

Air kacang soya dikatakan menyebabkan kulit bayi yang dilahirkan menjadi sensitif dan tidak tahan lasak. Pengalaman kakak saya sendiri pula mengatakan meminum air kacang soya secara rutin ketika mengandung menyebabkan anak yang dilahirkan berpotensi mendapat asma. Walaupun, tiada fakta yang tepat saya ambil keputusan untuk mengelakkan perkara-perkara yang boleh dielakkan kerana apa yang paling penting adalah kesihatan saya dan bayi dalam kandungan.


4. Elakkan air kelapa

Air kelapa dikatakan dapat melicinkan kulit bayi dan memudahkan proses bersalin. Disyorkan minum ketika di hujung kandungan. Walau bagaimanapun saya tidak amalkan minum air kepala kerana tidak menggemari rasanya. Selain itu saya pernah diberitahu yang air kelapa boleh menyebabkan sakit urat sendi jika diminum. Oleh itu saya gunakan alasan yang sama seperti di no.3 iaitu mengelakkan perkara-perkara yang boleh dielakkan selagi tidak memudaratkan. Elak di sini bukan bermakna tidak boleh diminum langsung, boleh jika teringin tetapi dalam jumlah yang sedikit.

Sekian perkongsian saya. Amalan di atas saya lakukan sepanjang mengandung 2 orang putera yang bakal berumur 4 dan 2 tahun pada tahun ni.

Add caption
Gambar: Adam Ayish & Iman Harith

Saturday 23 February 2019

RESIPI ROTI BAKAR TELUR

Assalamualaikum dan selamat bercuti ya.. Masuk ni dah minggu ketiga hari Sabtu saya akan masak menu kegemara saya ni. Menu yang sangat simple dan menyelerakan. Mari kita lihat bahan-bahan yang diperlukan dan cara memasaknya.

BAHAN-BAHANNYA:
2 keping roti ( saya guna Gardenia)
2 biji telur
Sedikit planta
Kicap
Serbuk lada hitam 

CARA MEMASAKNYA: 
1. Didihkan air untuk merebus telur separuh masak. Masukkan telur setelah air mendidih. Rebus telur selama 2 minit sahaja untuk mendapatkan telur separuh masak. Kalau lebih dari 2 minit anda tidak akan mendapat kualiti telur separuh masak yang diharapkan, hehe.. y so serius? Sebab banyak kali saya failed and end up telur saya beku dah.. Lepas 2 minit angkat dan toskan telur.
2. Sapu roti dengan planta dan bakar dalam kuali. Bakar ikut kesukaan anda k, siapa suka rangup boleh bakar sehingga garing.
3. Susun roti dalam bekas hidangan anda, pecahkan telur separuh masak di atasnya, kemudian letak serbuk lada hitam dan kicap. Siap!! Selamat mencuba dan selamat menjamu selera.


Friday 22 February 2019

RESIPI IKAN BAKAR MODEN


Assalamualaikum, selamat pagi.. Ok entri pertama tahun 2019, setelah beberapa tahun tidak menulis. Saya mulakan dengan makanan harian orang Malaysia iaitu ikan. Ikan juga dikatakan sebagai kaya dengan sumber protein. Kali ini saya gunakan ikan bawal emas atau juga dikenali sebagai bawal putih. Harga seekor ikan bawal emas yang saya beli di market Jitra, Kedah ini RM11 untuk saiz sederhana, boleh dihidang untuk 2-3 orang. Harga yang berpatutanlah pada pendapat saya kerana ikan yang segar dan agak sukar juga untuk di dapati di kawasan pekan ini.

Tahun ini juga saya bertekad untuk memasak makanan yang lebih sihat, cuba elakkan makanan berkolesterol tinggi selari dengan peningkatan usia huhu.. Nama pun tekadkan, sesuatu yang berada jauh di dasar hati nu. Sesuatu yang tiada siapa pun tahu hehe.. apa maknanya tu? Maknanya boleh jadi tertunai dan boleh jadi tidakkkkk!!

Okaylah, mari kita mula memasak ikan bakar ya, saya namakan ikan bakar moden sebab ia dibakar di dalam kuali sahaja menggunakan dapur gas. 

BAHAN-BAHANNYA:
1 ekor ikan bawal emas/putih @ ikan siakap
2 sb sos cili
2 sb sos tiram 
2 sb planta/buttercup
5 helai daun kunyit/daun pisang
5 biji cili padi (dihiris)
2 biji limau kasturi (pilihan)
1 biji tomato (pilihan)
daun sup + daun bawang (pilihan)

BAHAN-BAHAN KISAR DENGAN MINYAK MASAK:
10 tangkai cili kering, dipotong dan direndam air panas
1 ulas bawang besar
5 ulas bawang putih
2 batang serai

CARA MEMBUATNYA:
1. Kisar bahan-bahan kisar menggunakan minyak masak. Ini bertujuan untuk menghancurkan biji cili kering. Jangan masukkan air walau sedikit pun, ini akan menyebabkan rempah menjadi cair.



2. Perasakan ikan dengan garam, kemudian perap dengan bahan-bahan kisar selama 30 minit.
3. Setelah itu nyalakan api, ratakan planta ke dalam kuali kemudian baru masukkan daun kunyit sebagai alas agar ikan tidak melekat bila dimasak. Perhatian planta diletakkan di bawah daun kunyit ya, bukan di atasnya.

maafkan kuali saya yang hitam itu..
 4. Bakar ikan dengan api kecil selama 30 minit (sya gunakan api paling kecil dilingkaran tengah dapur). Tutup kuali dengan tudung periuk untuk memastikan ikan masak di kedua-dua belah. Ikan tidak perlu diterbalikkan ya, insyaallah masak jika cukup masa dan suhunya.
5. Setelah 25 minit baru saya masukkan cili padi, limau kasturi (dibelah dua, jangan perah airnya, perah ketika dihidang nanti), tomato dan daup sup+daun bawang. Kemudian tutup semula kuali, tunggu 5 minit dan siap. Selamat mencuba!!
maaf sekali lagi, bagi pihak kuali yang hitam itu..



 
Copyright 2019 Reserved to Mama Adam Iman Design By Cik Nurfarah